29/3/15 - Sungai Singgor Ulu Perak memang asing bagi aku. Terletak di Grik Perak, di sebelah selatan Tasek Banding mengujakan aku untuk turut serta apabila dipelawa seorang sahabat. Sebenarnya masa ini sepatutnya kami berancang untuk ke Bersia, tetapi atas faktor kurang kaki dan ditambah pula mendapat khabar dari Grik yang air sudah mulai surut selepas musim banjir besar tempoh hari kami pun bersetuju untuk menyertainya.
30/3/15 - Selepas bersarapan pagi kami terus bergerak ke Kampung Tekam, salah satu Kampung Orang Asli yang terdapat di situ untuk mendapatkan perkhidmatan beberapa orang sebagai pembantu selama kami di sana. Alhamdulillah Pak Ali Tok Batin Kampung Terkam dan rakan Pak Hamid sendiri sudi menyertai trip kami ini.
Sepanjang perjalanan ke 'campsite' kami disajikan dengan permandangan indah Banjaran Titiwangsa. Kami melalui jalan balak yang telah lama sedia ada. Saya telah difahamkan bahawa Sungai Singor ini telah lama diteroka untuk hasil pembalakan. Kami berhenti di sebuah jambatan yang di gelar Jambatan Besi melintasi Sungai Singor bertujuan untuk mendapatkan 'feel' kerana disapa sang Sebarau 'frenzy'. Namun hanya seekor sahaja yang berjaya dikail oleh saudara Heiry dengan sesudunya sebelum kami meneruskan perjalanan kami. Kebanyakan dari kami yang menggunakan gewang langsung tidak disentuh.
Setelah mengambil masa selama dua jam akhirnya kami sampai ke 'campsite' yang telah kami rancang. Selepas makan kami terus dirikan khemah serta membuat persiapan alatan memancing kami kerana telah teruja melihat keindahan Sungai Singor ini. Malangnya setelah dua jam meranduk sambil mengilat sekitar sungai air mulai keruh dan meninggi. Langit mulai gelap, yang pasti di bahagian hulu sudah hujan dan mulai melimpah di tempat kami. Hanya beberapa ekor sebarau berjaya di kail oleh rakan-rakan sebelum mengambil keputusan pulang ke 'campsite'.
Sebelah malam saya serta beberapa rakan mengambil keputusan untuk turun semula ke 'Jambatan Besi' kerana tiada ragutan walaupun seekor baung dalam aktiviti 'membottom'. Ini juga mungkin disebabkan ikan sudah banyak ke hilir akibat dibawa arus banjir lepas. Sampai di Jambatan Besi saya pula keletihan dan terus tertidur hingga keesokan hari. Jadi aktiviti membottom baung diteruskan oleh rakan-rakan yang lain.
31/3/2015 - Di sebelah pagi, aktiviti mengilat Sebarau dimulakan. Terdapat banyak kelibat sebarau mengejar anak ikan tetapi tiada ragutan kelihatan. Hingga lah matahari sudah kelihatan tinggi dan panas mula terasa, baru sebarau aktif meligan sesudu yang kami sajikan. Akibat perlu segera kembali ke 'campsite' kami tinggalkan dahulu sebarau yang masih aktif itu.
Sampai saja di 'campsite' kami di telah mendapat khabar gembira. Pak Ali dan Pak Hamid berjaya mendapat beberapa ekor kelah dan kejar dari hasil menjala. Maka dapat jugalah kami merasa kelah stim yang di masak oleh Chef Rizal. Selesai makan kami pon bersiap untuk pulang dan bercadang mengilat semula di Jambatan Besi. Kami dapat lagi beberapa sambaran hinggakan sambaran dari seekor Badong yang tidak berjaya didaratkan. Larian sang Badong ke reba berjaya meloloskan diri.
Akhirnya hari sudah semakin petang, kami pun mengambil keputusan untuk pulang. Selesai menghantar Pak Ali dan Pak Hamid ke Kampung Tekam kami terus pulang dengan pengalaman yang tidak dapat dilupakan di Sungai Singor Ulu Perak ini.
Kesimpulannya sungai ini masih lagi dipenuhi dengan pelbagai jenis ikan. Akan tetapi pemeliharaan perlu ditingkatkan kerana aktiviti 'Bom Ikan' dan 'Tuba' yang sering terjadi di sini. Ini mungkin disebabkan sudah terdapat jalan mudah untuk masuk ke hulu sungai dan jauh di dalam hutan. Kawalan perlu ditingkatkan oleh pihak berwajib bagi mengekalkan serta memelihara khazanah hutan yang sangat berharga ini.
Coretan pengalaman - IkanBiliz
bestnya
BalasPadambestnya
BalasPadamAssalamualaikum... ada contact guide yg boleh bawa ke sungai singor tak?
BalasPadamIkan Todak oleh saudara Heiry.
BalasPadamIni ikan todak air tawar?